
Safiah's
Tailoring




BAJU MELAYU
Baju melayu dipercayai telah mula dipakai oleh orang Melayu sejak zaman Sultan Muhammad Syah memerintah Melaka (TM 1424-1444) iaitu lebih kurang 700 tahun yang lalu. Mengikut catatan dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang, di hikayatkan baginda pernah melarang rakyat memakai jubah (masa tersebut digelar’pakaian atas angin”, umpama pedagang Arab atau jubah China) Sebaliknya apabila baginda menunaikan fardu solat Hari Raya, baginda akan menyarung baju Melayu dahulu (dipakai cara sarung, lengkap dengan destar) Cuma apabila tiba di masjid barulah baginda mengena jubah (pakaian Atas Angin).Dalam teks Hikayat Hang Tuah pula diperikan memakai cara Melayu adalah termasuk segala peralatan pakaian kebesaran diraja ditambah dengan tingkah laku sopan yang selaras dengan pegangan Islam. Dalam sejarah melayu juga dikatakan bahawa baju melayu yang di pakai oleh rakyat melaka singkat dan sendat, tetapi seorang pembesar melayu telah memanjangkannya dan membesarkan pesaknya, maka terbentuklah baju melayu seperti sekarang.
BAJU MELAYU CEKAK MUSANG
Baju Melayu cekak musang mempunyai 5 butir kancing. Menurut seorang bekas budayaawan dari UKM, dari segi entnografi sosiobudaya kancing itulah lambang keharmonian rumah tangga masyarakat melayu. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan diantara pasangan suami isteri iaitu ayah dan ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka iaitu sulung, tengah dan bungsu. Namun budayawan Negara Pn Azah Aziz (Mak Engku) mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau menyatakan ada falsafah di sebalik jumlah butir kancing di atas baju Melayu cekak Musang. Menurut beliau “ tujuh butir untuk kalangan bangsawan atau raja di istana.Dalam hal ini kita juga harus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris = berlok 3 - 11. Lok 11 ialah milik Sultan = pemerintah termasuk Ratu, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata. Bumbung perabung Masjid Kampung Laut 3-5 tingkat. Dalam Islam semua nombor hanya di kira dari 1- 9. Dalam kiraan ilmu keislamanan kita boleh merujuk langsung kepada 5 iaitu rukun Islam, atau 6 Rukun Iman. Jadi setujukah anda dengan jumlah butir baju Melayu Cekak Musang mengira jumlah 5 sesuai dengan pegangan kita, Rukun Islam.”Sesetengah Ulama Nusantara menyatakan bahawa falsafah Baju Melayu adalah selari dengan Agama Islam. Ini di buktikan dengan menyatakan bahawa 5 butir kancing melambangkan rukun Islam yang lima, 4 butir kancing melambangkan syariat, hakikat, tarikat dan ma’rifat dan bagi 3 butir pula ia membawa maksud Islam, Iman dan Ihsan.